Berita Utama

Siapa anggap isu PM bukan Melayu tak sensitif memang buta sejarah

Pemimpin utama negara patut daripada majoriti penduduk Malaysia

BANGI, 2 Jamadilakhir 1445H, Jumaat – Tindakan segelintir pihak yang menganggap isu Perdana Menteri bukan Melayu sebagai bukan perkara sensitif disifatkan sebagai buta sejarah dan Perlembagaan.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Muhammad Fathi Yusof menegaskan, sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan menggambarkan bahawa isu seumpama ini tidak boleh dipandang ringan.

Menurutnya, meskipun Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut secara nyata bahawa Perdana Menteri mesti Melayu, namun Perlembagaan perlu difahami secara menyeluruh.

“Peruntukan Perkara 153 yang diperkenalkan selepas melalui proses perbincangan dan rundingan ketika penggubalan Perlembagaan telah memberikan hak istimewa kepada orang-orang Melayu.

“Ia di atas prinsip untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bukan Melayu dengan menjamin keutuhan penguasaan pentadbiran orang Melayu.

“Secara tersiratnya Perkara 153 ini bertujuan untuk mengekalkan penguasaan pentadbiran dan politik orang Melayu termasuklah melalui pelantikan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fathi berkata, pengekalan sistem beraja melalui sultan-sultan yang sedia mentadbir negeri-negeri Melayu dan kewujudan jawatan Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan orang Melayu mengukuhkan pendapat bahawa pengekalan kuasa politik orang Melayu adalah hasrat tersirat Perlembagaan.

Bahkan katanya, kuasa pelantikan Perdana Menteri yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43 menunjukkan bahawa pelantikan itu perlu melalui tapisan ketat.

“Kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri adalah kuasa budi bicara yang memberi ruang yang luas kepada Baginda untuk memastikan Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu Islam.

“Dari sudut realitinya, pemimpin utama negara sepatutnya dari majoriti penduduk Malaysia iaitu orang Melayu Islam. Kepimpinan dari kelompok majoriti akan mewujudkan kestabilan politik. Selama orang Melayu menjadi peneraju utama kerajaan sejak merdeka, tidak pernah wujud kezaliman kepada kaum lain.

“Bahkan bukan Melayu diberi ruang yang sangat terbuka dalam bidang ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Jadi kenapa perlu timbulkan soal perkauman dalam kepimpinan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, tolerasi kepimpinan yang diterajui oleh orang Melayu boleh dilihat setiap kali pembentukan Kabinet kerajaan, yang mana sepanjang sejarah negara akan ada penglibatan pelbagai kaum dalam barisan Jemaah Menteri.

Justeru, Fathi tidak menolak kemungkinan isu ini timbul seolah-olah bertujuan untuk memberikan gambaran palsu bahawa bukan Melayu disisihkan dalam politik negara.

“Ringkasnya, tidak wajar isu kaum untuk jawatan Perdana Menteri ini ditimbulkan. Negara kita ada sejarah dan asas Perlembagaan yang perlu dihormati demi kesejahteraan semua.

“Mempersoalkan hakikat bahawa Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu hampir menyamai mempertikaikan hak istimewa bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita mengharapkan semua pihak tidak membangkitkan soal-soal sensitif yang hanya boleh menghangatkan polemik di kalangan masyarakat,” katanya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/12/11/pm-bukan-melayu-pas-minta-kit-siang-henti-propaganda-palsu/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button