Berita Utama

Tidak bangga berbahasa Melayu, rakyat kini tersesat di tengah jalan

Perpaduan negara sangat tidak memuaskan, nilai kembali kewujudan sekolah vernakular Cina

BANGI, 25 Muharram 1443H, Jumaat – “Saya kira sudah sampai waktunya kita lihat kembali apa yang perlu dilakukan kepada bahasa kita, kerana kita sudah sesat di tengah jalan, maka kita kena baliklah ke pangkal jalan.”

Demikian kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dalam webinar Agenda Pertiwi bertajuk 64 Tahun Merdeka: Mana Kedudukan Bahasa Negara? yang disiarkan secara langsung, di TV Pertiwi, semalam.

Menceritakan secara umum, Prof Kok Seong berkata, sering kali apabila para pelancong datang ke Malaysia, meskipun untuk tempoh yang sekejap, sesetengah daripada mereka memerhatikan gejala bahasa di negara ini.

Katanya, para pelancong mendapati penduduk Melayu lebih gemar berbahasa Inggeris dan orang bukan Melayu khususnya orang Cina tidak boleh berbahasa Melayu.

“Jadi saya kira ini sesuatu yang amat tidak baik kepada citra kita di persada antarabangsa. Kita dilihat gagal dalam pembentukan negara bangsa, kita bukan saja tidak mengetahui dan menguasai bahasa negara malah tidak bangga dan sudah tentu tidak sayang kepada bahasa negara ini,” katanya.

Menyentuh mengenai ketidakbolehan berbahasa Melayu, beliau berkata, rata-rata lepasan sekolah vernakular Cina khususnya, hanya fasih dalam bahasa Cina – Mandarin.

Walaupun mereka sudah diajar dua bahasa lain iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, mereka hanya fasih bahasa ibunda Cina, kata Prof Kok Seong yang kesal dengan keadaan itu.

“Apabila mereka mahu membaca surat khabar, maka pilihannya adalah akhbar Cina dan apabila mereka mahu menonton rancangan televisyen, oleh sebab mereka hanya fasih bahasa Mandarin, maka mereka boleh menonton itu sahaja.

“Kebanyakan daripada stesen tv berbayar yang mereka langgan pula, kontennya diimport dari negara luar,” katanya.

Dek kerana itu, beliau berkata, sudah jelas rancangan-rancangan di stesen televisyen luar negara tersebut langsung tiada aspirasi nasional Malaysia.

“… dan apabila mereka ini ingin bergaul, oleh sebab mereka hanya fasih berbahasa Cina, maka mereka hanya bergaul sesama kaum. Jadi mereka ini hidup dalam dunia Cina di Malaysia ini,” katanya.

Prof Kok Seong berkata, tidak dapat dinafikan sekolah vernakular ini merupakan salah satu punca mengapa bahasa Melayu terpinggir secara tidak langsung.

“Dalam hal ini, sekolah Cina dari satu segi yang tak begitu ekstrem, ini dilihat sebagai penghalang perpaduan. Kalau kita lihat dari satu sudut lebih ekstrem, sekolah Cina ini bersifat antinasional

“Sudah sampai waktunya kita menilai kembali wujudnya sekolah Cina ini dalam konteks perpaduan negara yang tidak memuaskan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button