Berita Utama

PRK Slim: Penamaan calon pagi ini

Tiada perarakan atau perhimpunan susulan wabak COVID-19

TANJUNG MALIM, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bermula hari ini, dengan tumpuan kepada pengumuman rasmi calon yang akan bertanding di DUN itu.

Proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini akan bermula pada 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Berikutan wabak COVID-19, tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan sekali gus menjejaskan kemeriahan hari penamaan calon yang seringkali diwarnai dengan perarakan serta laungan daripada penyokong parti bertanding.

Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenar masuk ke pusat penamaan calon.

Pegawai Pengurus PRK itu Shamsul Ridzuan Idris kemudian dijangka mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada 11 pagi.

Setakat semalam, 12 set borang pencalonan sudah dijual.

Barisan Nasional (BN) pada Rabu mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan, manakala peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dinamakan sebagai calon mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amir Khusyairi akan bertanding atas tiket Bebas memandangkan parti baharu Dr Mahathir, Pejuang belum didaftarkan.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button