Berita Utama

Anggota polis perlu ambil suntikan vaksin COVID-19

Proses edaran borang dilakukan untuk dapat maklumat diri termasuk tahap kesihatan

PASIR MAS, 6 Rejab 1442H, Khamis – Semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta supaya mengambil suntikan vaksin COVID-19 yang dijangka bermula pada awal Mac depan, dalam usaha mengelakkan mereka dijangkiti penyakit itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata, ini kerana pasukan keselamatan itu merupakan antara petugas barisan hadapan yang amat terdedah dengan wabak itu sehingga boleh menjejaskan pelaksanaan penugasan.

“Buat masa ini kami sedang melakukan kajian dan kami tidak mahu ada anggota dijangkiti. Kalau kami tidak sihat macam mana mahu memberikan khidmat kepada orang ramai. Sebelum ini sudah ramai yang dijangkiti, malah ada yang meninggal dunia,” katanya kepada pemberita dalam Lawatan Op Benteng di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Lubok Setol di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, proses pengedaran borang sedang dilaksanakan untuk anggota mengisi segala maklumat termasuk tahap kesihatan diri sebelum menerima suntikan vaksin secara berperingkat.

Katanya, bagaimanapun pegawai dan anggota polis juga diminta agar mengisytiharkan sebarang alahan atau penyakit yang dihidapi sebelum mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Jelasnya, mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau alahan serius tidak digalakkan menerima suntikan vaksin sejajar dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak sebarang implikasi yang tidak diingini.

Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan 12 pos kawalan baru PGA di tebing Sungai Golok, Abdul Rahim berkata projek bernilai RM8.7 juta yang terletak dalam jajaran Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Golok itu dijangka siap pada 2023.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah meluluskan peruntukan untuk pembekalan keperluan asas seperti tilam, katil, bantal dan lain-lain kemudahan untuk kawasan anggota dengan peruntukan sebanyak RM700,000 bagi fasa pertama.

“Pada 2020, kerajaan juga telah membelanjakan sejumlah RM2.27 juta untuk pembaikan di lima pos barisan hadapan, empat pos sekat pintas, pos sekatan jalan raya (satu) dan dua kompeni taktikal (Komtak),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button