Berita UtamaDunia

Empat anggota penyelamat Greece maut dalam nahas ke Libya

Bas bawa kakitangan perubatan bertembung kenderaan arah bertentangan

KAHERAH, 2 Rabiulawal 1445H, Isnin – Kira-kira empat anggota pasukan penyelamat Greece dalam perjalanan ke bandar Derna yang dilanda banjir dan tiga ahli keluarga Libya maut dalam kemalangan jalan raya pada Ahad.

Menteri Kesihatan bagi kerajaan timur Libya, Othman Abduljaleel berkata, sekurang-kurangnya 15 daripada pasukan penyelamat Greece cedera, termasuk tujuh dalam keadaan kritikal susulan insiden itu.

“Dua daripada keluarga Libya juga kritikal,” katanya pada sidang akhbar.

Menurut Angkatan Tentera Greece, sebuah bas yang membawa kakitangan perubatan bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan, namun pihaknya tidak mengesahkan kematian.

“Punca dan keadaan kejadian sedang disiasat dengan kerjasama pihak berkuasa Libya, sementara operasi sedang dijalankan untuk mengumpulkan kakitangan di Benghazi dan menghantar pulang mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar Greece tidak segera untuk mengulas mengenai kenyataan Abduljaleel mengenai kematian empat orang warganya.

Menurut sumber diplomatik, pasukan penyelamat Greece mempunyai 16 anggota serta tiga jurubahasa.

Dilaporkan, ribuan orang terkorban selepas dua empangan di atas bandar Derna di timur Libya pecah pada 10 September akibat taufan kuat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button