Berita Utama

Kerajaan Madani goyah punca tercetus ‘Langkah Chow Kit’

PN mahu buktikan masih kuat walau lima MP Bersatu sokong Anwar

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 22 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Perikatan Nasional (PN) seolah-olah memberi gambaran kerajaan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim kini tidak stabil apabila kewujudan desas-desus mengenai rancangan menumbangkan Kerajaan Persekutuan.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan percaya pembangkang tidak berhasrat menumbangkan Kerajaan Pusat kerana tidak mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan PN berasa tidak puas hati susulan tindakan lima ahli Parlimen Bersatu memberi sokongan kepada Anwar, justeru mereka mahu memberi gambaran pembangkang masih kuat selain menimbulkan persepsi kerajaan goyah.

“Tidak boleh dinafikan ketaksuban PN untuk menumbangkan kerajaan menjadi-jadi selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang lepas di mana mereka mendapat keputusan yang amat baik sekali.

“Tetapi, selepas lima ahli Parlimen Bersatu membuat sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, saya menjangkakan perkara menumbangkan kerajaan, permainan nombor ini tidak relevan lagi.

“Maknanya PN tidak akan meneruskan permainan mereka tetapi ternyata silap dalam perkara ini dengan pengakuan MB Kedah apa yang beliau panggil Langkah Chow Kit,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan Kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

Pada masa sama, Muhammad Sanusi juga yakin Kerajaan Persekutuan akan dapat ditumbangkan dalam tempoh terdekat ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button