Berita Utama

Bersih ke Parlimen beri gambaran penyokong PH mula tolak Anwar

Tanda rakyat tertekan, kecewa dengan kegagalan kerajaan

KOTA BHARU, 16 Syaaban 1445H, Isnin – Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) esok memberi gambaran penyokong Pakatan Harapan (PH) mula menolak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi ini berlaku kerana kegagalan kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi yang dilaung-laungkan sebelum ini bagi mengubah pentadbiran negara.

Beliau tidak menolak kemungkinan tragedi ‘22 bulan’ pemerintahan PH akan berulang sekiranya kebebasan hak bersuara rakyat dalam media sosial disekat, pada masa sama kos hidup rakyat terus meruncing.

“Bila nak berlaku perubahan ini, Insya-Allah saya jangka mudah-mudahan tidak akan habis penggal ini, kalau tengok realiti ‘22 bulan’ PH dahulu memerintah pun, tiada ribut dan tiada taufan tiba-tiba kerajaan bertukar.

“Tetapi kali ini dengan tekanan rakyat dan Bersih pun keluar kenyataan akan mengadakan demonstrasi ke Parlimen.

“Bersih ini ‘core’ sokongan kepada PH, mereka pun mulai melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan ini,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Bersih dilaporkan akan berhimpun di Tugu Negara dan berarak ke Bangunan Parlimen esok bagi mendesak kerajaan melaksanakan agenda reformasi.

Gerakan itu meminta kerajaan menangani rasuah pentadbiran kerajaan termasuk DNAA membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pembaharuan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sempena sidang Parlimen yang bermula pada 26 Februari sehingga 27 Mac depan, Bersih juga berhasrat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada hari yang sama dengan memakai pakaian berwarna kuning atau hitam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button