Berita Utama

BERSATU akan bersama PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN

Kerajaan PN masih berfungsi beri khidmat kepada rakyat

1. Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada hari ini telah dipengerusikan oleh Presiden, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Yassin.

2. Dalam mesyuarat tersebut, BERSATU menzahirkan kesyukuran atas kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.

3. Dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, Kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

4. Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

5. Justeru, BERSATU mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqamah dalam mendukung serta mempertahankan aspirasi Kerajaan Perikatan Nasional.

6. Berhubung surat yang dihantar oleh Presiden UMNO bertarikh 26 Februari 2021, BERSATU memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, BERSATU dan Perikatan Nasional.

7. Dalam hal ini, BERSATU memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Parti Perikatan Nasional iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihanraya akan datang.

8. BERSATU juga berpendirian bahawa Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

DATUK SERI HAMZAH ZAINUDIN
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
4 Mac 2021, Putrajaya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button