Artikel Khas

Jangan terbuai propaganda Barat konon perjuang hak asasi wanita

Sumbangan Rasulullah ﷺ dalam martabatkan wanita beri kesan yang besar sehingga ke hari ini

PADA 10 Rabiulawwal Tahun Gajah, lahirlah ke dunia seorang manusia yang bakal mengubah landskap ketamadunan dunia. Rasulullah ﷺ lahir di tengah-tengah jazirah Arab yang dipandang enteng pada waktu itu. Kaum Arab yang hidup dalam keadaan jahiliyyah dikelilingi oleh kerajaan-kerajaan besar dunia seperti Rom dan Parsi. Siapa sangka pada waktu itu Islam bakal menjadi kuasa besar yang menguasai sepertiga dunia untuk lebih 600 tahun?

Sumbangan Rasulullah ﷺ dalam memartabatkan wanita dan meninggikan taraf mereka pada waktu itu telah memberi kesan yang besar kepada golongan wanita sehingga ke hari ini. Malah, Rasulullah ﷺ membawa wanita dan lelaki kembali kepada fitrah mereka seperti mana yang diciptakan oleh Allah SWT supaya kedua-dua jantina ini berjaya membina sebuah masyarakat yang menjalankan fungsi masing-masing dengan baik dan seimbang. Keseimbangan ini membawa kepada ketamadunan yang tidak merosakkan mana-mana pihak sama ada lelaki, wanita, kanak-kanak, mahupun ekosistem.

Kisah Rasulullah ﷺ bersama isteri-isteri Baginda haruslah kita singkap untuk jadikan contoh dalam kehidupan seharian kita. Penghormatan Rasulullah ﷺ kepada wanita bukanlah satu kisah yang asing walaupun Baginda merupakan Rasul pilihan Allah dan menjadi ‘Raja’ di Jazirah Arab. Rasulullah ﷺ sering juga meminta pandangan dari isteri-isterinya dalam pelbagai isu.

Pada awal peringkat kerasulan, Rasulullah ﷺ telah mengutarakan kegusaran Baginda kepada Saidatina Khadijah dan menerima cadangan Saidatina Khadijah untuk berjumpa dengan Waraqah Bin Naufal untuk mendapatkan penjelasan. Ketika gusar terhadap reaksi sahabat setelah termeterai Perjanjian Hudaibiyyah Rasulullah ﷺ bertanya kepada Saidatina Sofiyyah binti Huyai dan menggunakan pandangan beliau supaya Rasulullah ﷺ yang terlebih dahulu menjalankan korban dan mencukur rambut untuk membatalkan Haji tahun tersebut, dan kemudiannya diikuti oleh para sahabat. Saidatina Aishah diangkat menjadi ‘Ustazah’ terutamanya dalam fiqh wanita kerana wanita-wanita Ansar sangat aktif bertanya soal fiqh pada Rasulullah ﷺ.

Penghormatan dan kasih sayang Rasulullah ﷺ terhadap Ummu Aiman yang merupakan hamba kepada bapa Baginda, yang telah mengasuh Baginda sejak kecil menjadi contoh tauladan kepada kita semua. Baginda menggelarnya sebagai ‘Ibu kedua selepas ibuku’ dan membebaskannya dari perhambaan setelah berkahwin dengan Saidatina Khadijah. Rasulullah ﷺ memberi pengiktirafan kepada Saidatina Khaulah atas jawapan yang diberikan oleh Allah SWT kepada persoalan beliau ketika beliau datang menghadap Baginda.

Rasulullah ﷺ turut menunjukkan akhlak dan adab yang tinggi terhadap ‘musuh’ baginda di kalangan wanita. Wanita tua Yahudi yang sering kali meletakkan halangan di jalan yang sering dilalui oleh Rasulullah ﷺ diziarahi dan disuap oleh Baginda sendiri ketika dia sakit sehingga akhirnya wanita itu memeluk agama Islam.

Kesan daripada cara Rasulullah ﷺ bermuamalah dengan wanita, umat Islam secara keseluruhannya telah memartabatkan kedudukan wanita sebagai satu cara mengikuti sunnah Baginda. Kehormatan wanita merupakan asas dalam perlindungan hak asasi wanita. Wanita tidak dijadikan objek seks, objek promosi iklan atau objek pelaris jualan seperti yang kita lihat pada hari ini atas dasar ‘hak asasi manusia’. Wanita tidak dipaksa menanggalkan pakaian, melakukan persetubuhan atau bergomol-gomolan dengan lelaki bukan mahram demi mencari rezeki, malah perbuatan ini diharamkan bagi menjaga kehormatan wanita. Wanita diberikan kebebasan bersuara, kebebasan mendapatkan pendidikan, kebebasan melakukan sebarang pekerjaan yang sesuai termasuklah menjadi tentera melawan dan menjadi ‘bodyguard’ Rasulullah ﷺ seperti mana Nusaybah binti Kaab di waktu Perang Uhud. Dalam pada itu, fitrah wanita sebagai ibu dan isteri dirai dan pelbagai ganjaran hebat dijanjikan kepada mereka supaya mereka tidak merasakan yang tugas ‘fisiologi’ mereka bukanlah sesuatu yang sia-sia, malah amanah besar dari Allah SWT.

Bersempena Maulidurrasul tahun ini, marilah kita sama-sama menyelusuri sejarah keagungan Nabi Muhammmad ﷺ serta memperingati jasa Baginda dalam memartabatkan wanita. Janganlah kita terbuai-buai dengan propaganda Barat yang cuba melupakan kita dengan hakikat ini dan menggambarkan seolah-olah merekalah yang mempelopori perjuangan hak asasi wanita, sedangkan dari hari ke hari, kita sendiri memerhatikan bagaiman rendahnya kehormatan wanita yang ada pada hari ini.

Ustazah Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button