Berita Utama

Serbuan gempur ‘Geng Nicky’ dibuat ikut SOP PDRM

Penggeledahan dibuat berdasar risikan, atas sebab-sebab munasabah

JOHOR BAHRU, 5 Ramadan 1442H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia hari ini menegaskan serbuan Ops Pelican 3.0 yang dilakukan di Trigon Residence Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 dan 21 Mac lepas bagi menggempur kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’, dijalankan mengikut prosedur operasi standard pasukan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata semasa serbuan itu dilakukan, sebanyak 45 unit kondominium telah digeledah dengan cara memecahkan tombol pintu dan penggeledahan dibuat berdasarkan maklumat risikan dan atas sebab-sebab yang munasabah.

Ini termasuk selepas polis mengesyaki kondominium terbabit menjadi tempat persembunyian geng berkenaan dan menyimpan dokumen atau harta-harta terlibat.

“Serbuan dan penggeledahan juga mematuhi peruntukan undang-undang Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab luahan penduduk kondominium tersebut berkaitan kerosakan di kediaman mereka susulan serbuan berkenaan.

Serbuan itu membabitkan 220 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan, melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Pasukan Gerakan Am Batalion 4, Cheras, Kuala Lumpur.

Geng Nicky dipercayai diketuai oleh seorang lelaki tempatan bergelar ‘Datuk Seri’, dikenali Nicky Liow Soon Hee, 33, yang kini dalam buruan polis kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Liow juga adalah pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk, Puchong. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button