Berita Utama

‘Demi Bersatu’ Muhyiddin patut undur sekarang, tak perlu tunggu pemilihan parti

MP berpaling tadah kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Rejab 1445H, Isnin – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar mengundur diri ekoran tindakan wakil rakyat daripada parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan percaya, tindakan keenam-enam ahli Parlimen Bersatu itu kerana hilang kepercayaan terhadap masa depan parti khususnya dengan kepimpinan sekarang.

Justeru, kelemahan Bersatu boleh diperbaiki sekiranya Muhyiddin berundur daripada jawatan presiden.

“Sebab itu dikatakan tak perlu menunggu pemilihan pada tahun ini yang tak pasti bila tetapi (Muhyiddin) perlu mengundur diri.

“Sebelum ini Muhyiddin mengatakan tidak akan mempertahankan jawatan. Ia sepatutnya diteruskan kerana ada masalah besar dari segi kepimpinan.

“Saya percaya masalah ini terbit daripada kepimpinan Bersatu yang tiada arah tuju yang membuatkan wakil rakyat mereka hilang kepercayaan dan pedoman,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Meskipun beberapa ahli Parlimen Bersatu ‘berpaling tadah’, Azmi percaya parti itu tidak akan terkubur.

Ini kerana katanya, Bersatu masih mempunyai rakan politik yang dilihat semakin hari semakin kuat iaitu PAS.

“Dalam hal ini, PAS memerlukan Bersatu dalam konteks Perikatan Nasional begitu juga sebaliknya.

“Bagi saya tidak akan terkubur,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi mengikut jejak lima rakannya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Bersatu yang sudah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Terbaharu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas wakil rakyat yang mengkhianati parti itu.

Pada masa sama, wakil rakyat Bersatu yang didapati khianat kepada parti juga boleh kehilangan kerusi.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas parti yang berlangsung di ibu pejabatnya malam tadi.

Mesyuarat bersetuju meminda Perlembagaan Bersatu bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang lagi pada masa akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button