Berita Utama

Kes Adib akan dibuka semula jika ada bukti baharu: Zuraida

Kerajaan kini beri fokus keperluan keluarga Allahyarham

BANGI, 18 Safar 1443H, Sabtu – Kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham.

“Itu yang saya difahamkan tetapi mungkin mereka (pihak berkenaan) belum mengumumkan (kes berkenaan ditutup) dan melihat bagaimana kita dapat membantu keluarga Adib,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Ketika kes berkenaan berlaku pada 2018, Zuraida memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu juga kes akan dibuka semula sekiranya ada keterangan, maklumat dan bukti yang boleh digunakan.

“Kita akan terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib,” katanya.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan dilaporkan tamat kelmarin.

Manakala dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button