Berita Utama

Ankara kutuk serangan keji pada al-Quran, bendera Turkiye di Denmark

Peningkatan Islamofobia, xenofobia di Eropah membimbangkan

ANKARA, 24 Ramadan 1444H, Sabtu – Turkiye pada Jumaat mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji yang dilakukan terhadap kitab suci al-Quran dan bendera Turkiye di Denmark, lapor agensi berita Anadolu.

“Adalah tidak boleh diterima serangan keji ini dibenarkan di bawah perselindungan hak kebebasan bersuara,” kata Kementerian Luar Turkiye dalam satu kenyataan yang menunjukkan bahawa perbuatan itu dibenarkan Denmark walaupun beberapa amaran oleh Ankara.

Duta Denmark, Danny Annan telah dipanggil ke kementerian dan pendirian Turkiye mengenai isu itu telah disampaikan kepadanya, kata kenyataan itu.

Kementerian menegaskan bahawa Turkiye akan meneruskan usahanya, sama ada di platform pelbagai hala dan di peringkat dua hala, bagi menentang ‘serangan keji’ dan ‘jenayah kebencian’ sedemikian.

Insiden itu adalah contoh peningkatan yang membimbangkan dalam Islamofobia dan xenofobia di Eropah, katanya.

Kementerian mengecam Denmark kerana sikap tidak sensitif terhadap isu ini dan mengabaikan sentimen umat Islam di seluruh dunia.

Kementerian mengulangi permintaannya supaya Denmark mengambil langkah-langkah untuk mencegah provokasi sedemikian, terutamanya ketika bulan Ramadan.

Beberapa bulan kebelakangan ini telah menyaksikan beberapa tindakan pembakaran al-Quran atau percubaan untuk melakukannya oleh tokoh atau kumpulan Islamofobia di utara Eropah dan negara-negara Nordik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button