Berita Utama

Puad dakwa Bersatu akan ‘ditinggal jauh’ sebelum PRU16

Tidak ada negeri sandaran seperti PAS, UMNO dan PKR

BANGI, 10 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menepis kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Bersatu berpotensi ‘pergi jauh’ berdasarkan prestasi pilihan raya lalu.

Tidak bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung Bersatu itu, beliau berkata, Bersatu akan ‘ditinggal jauh’ sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Hamzah Zainudin mendakwa parti Bersatu berpotensi ‘pergi jauh’. Ini menurutnya dalam tempoh enam tahun ia memenangi 31 kerusi Parlimen.

“Hamzah lupa parti itu kini semakin tertinggal jauh. Bukan sahaja ditinggal jauh oleh PAS tetapi oleh ahli Parlimen Bersatu yang akan tinggalkan parti itu,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook beliau, hari ini.

Puad yakin, ketiadaan akar umbi sendiri punca perkara itu berlaku.

“Ia berjaya kerana PAS. Bersatu gagal mengganti UMNO. Bersatu tidak ada negeri sandaran seperti PAS, UMNO dan PKR.

“Ini melemahkan daya juang wakil rakyat Bersatu. Mereka akan beralih jika tidak kepada PAS akan beralih sokongan kepada PMX. Bersatu akan ditinggal jauh sebelum PRU16,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button