Artikel Khas

Apakah maksiat tak boleh di Pulau Besar, tempat lain boleh?

Fahamilah Islam secara syumul, jangan sampai orang keliru

APAKAH hanya kerana sesebuah tempat itu ada sejarah tamadun Islam maka maksiat tidak boleh, di tempat ‘tidak ada sejarah Islam’ maka maksiat jadi boleh? Pemahaman Islam apakah begitu?

Sama seperti, tidak boleh mengumpat di bulan puasa, di bulan lain, boleh pula mengumpat?

Jika inilah Islam, saya tidak akan masuk Islam! Seolah-olah Islam ada dualisme, boleh lakukan maksiat di tempat tertentu, tidak boleh di tempat tertentu?

Ini Islam apa? Islam kapal selam?

Saya cukup teruja membawa berita Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan mengadakan mesyuarat dengan agensi berkaitan bagi membincangkan tindakan boleh diambil, selepas sekumpulan pelancong asing dirakam berbikini di Pulau Besar yang disifatkannya mencemarkan imej dan kesucian pulau itu.

Tahniah saya ucapkan atas tindakan ini.

JAIM berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pelancong bukan Islam kerana Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk umat Islam.

JAIM bakal membincangkan apakah tindakan terbaik boleh diambil terhadap pelancong asing yang merosakkan imej serta kesucian Pulau Besar yang selama ini dihormati dengan nilai-nilai sejarah bermulanya tamadun Islam.

JAIM mengulas video tular tiga minit menunjukkan sekumpulan pelancong wanita asing berkelah dan mandi-manda di Pulau Besar dengan hanya berbikini.

JAIM akan mengambil langkah proaktif seperti mencadangkan Majlis Bandaraya memasang lebih banyak papan tanda mengingatkan pelancong sentiasa berpakaian sopan dan tidak melakukan aktiviti bertentangan ajaran Islam di pulau itu, termasuk membawa arak.

Katanya, mungkin ada pelancong tidak tahu sejarah Islam di Pulau Besar.

Kenapa baru sekarang? Kenapa hanya di Pulau Besar, tidak di seluruh negara?

Adakah ini membawa makna, di Pulau Besar tidak boleh bermaksiat, di tempat lain (negeri lain) boleh?

Ini negara kita, negara Islam, negara timur, negara yang ada adab dan tatasusila selaras dengan prinsip Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan.

Cuba jawab, agama apa yang menghalalkan berbikini? Begitu juga perkara yang diharamkan Islam, termasuk arak, judi, pelacuran dan lain-lain lagi.

Kenapa Qatar dan Brunei, sebuah negara Islam kecil sahaja, begitu tegas, boleh menguatkuasakan undang-undang di negara mereka sendiri, kita tidak boleh?

Ini rumah kita, bukan rumah orang lain? Kita pergi ke rumah orang (negara lain) kita hormati mereka, kenapa orang lain tidak boleh hormati rumah kita (negara kita)?

Saya cukup kagum dengan negara kecil, Qatar ketika menjadi tuan rumah piala dunia, boleh membuat peraturan, sehingga dihormati oleh orang luar seluruh dunia. Qatar berjaya menjadi bola dunia, menjadi simbol dakwah. Ini baharu betul Islamnya.

Hairannya, negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak boleh lakukannya, atas dasar hak asasi manusia.

Jika alasan Melaka, sebagai pusat tamadun Islam, maka tidak boleh berbikini, adakah itu bermakna negeri-negeri yang ‘tidak ada sejarah tamadun Islam’ boleh berbikini?

Bagaimana dengan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis? Ada yang turun daripada kapal terbang (juga merata tempat), pakaian seolah-olah seperti berbikini, terutama saudara sebangsa saya, orang Cina. Seluar pendek yang dipakai dengan baju tanpa lengan, sudah menampakkan yang tersurat dan tersirat.

Amat malang sekali apabila kita lebih Barat daripada Barat. Negara Barat, ada had-had juga yang kadangkala boleh ‘dipuji’.

Contoh, berbikini hanya dibenarkan, kolam mandi dan tepi pantai, naik ke darat, mereka wajib mengeringkan badan dan memakai pakaian bersopan sebelum menaiki lif atau kembali ke tempat penginapan. Mereka tidak boleh naik lif berbikini. Kita di sini, dengan bikini-bikini naik lif, buat selamba. Di tempat awam, pakaian mereka macam bikini.

Apa nak jadi dengan negara Islam ini? Kenapa kita begitu takut menguatkuasakan undang-undang di tempat kita sendiri.

Kenapa kita tidak boleh setegas Qatar dan Brunei. Ini negara kita, bukan negara Barat. Negara Barat pun ada hadnya.

Saya dikhabarkan anak-anak muda kita yang berada di pulau pelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan lain-lain, sudah menjadi langganan pelancong untuk melakukan seks dengan mereka? Ini melibatkan anak-anak Melayu Islam? Pergilah siasat.

Ini tidak termasuk lagi anak-anak muda dan artis kita yang menyambut Krismas dan Tahun Baharu.

Saya terbaca berita mengenai seorang artis dan suaminya yang telah memeluk Islam ‘menyambut’ Krismas.

Apabila ditegur netizen, bukan main melenting dengan netizen. Tidak mahu maafkan netizen. Netizen tidak mengumpat, dia memuntah dalam laman sosial anda.

Mengumpat ini di belakang. Bila berkata berdepan, itu bukan namanya umpatan.

Melihat kepada gambar, ada benarnya. Kenapa perlu bawa pokok krismas ke dalam rumah orang Islam. Kalau nak sambut pun dengan keluarga suami, yang tidak Islam, perlu berpada-pada.

Paling kelakar artis itu berkata, dia tidak akan maafkan mereka yang mengumpat dia. Netizen yang mengumpatnya, akan merangkak menemuinya di akhirat nanti.

Dia siapa sehingga ada orang nak merangkak jumpa di akhirat? Alim ulamakah dia?

Kalau begitulah berapa ramai pula yang akan merangkak menemui saya. Sudah tidak terkira banyak orang mengutuk, mengumpat dan mengeji saya di alam maya. Saya buat tak tahu, kerana saya tahu ini asam garam kehidupan. Ada orang suka, ada orang tidak suka dengan kita.

Dalam Islam, bila buat salah, minta maaf. Sama ada dia nak maaf atau tidak, itu soal lain. Paling penting kita sudah minta maaf. Tidak perlu panjang-panjangkan, tidak mahu maafkan.

Sekadar mengingatkan, termasuk diri sendiri, Islam adalah Islam. Haram dan halal adalah jelas.

Tidak timbul haram di sini, halal di sana, kecuali dalam beberapa keadaan seperti darurat.

Fahamilah Islam secara syumul. Jangan sampai orang keliru dengan Islam.

Contohilah Qatar. Tegas. Berjaya menukar maksiat menjadi dakwah. Islam tersebar seantero dunia hanya kerana sebiji bola. Kita masih terus membahaskan soal bikini, judi dan arak, sama ada ia boleh atau tidak?

Sedangkan ia sangat jelas haramnya. Insaflah wahai pemimpin negaraku. Jangan kerana kemarukkan undi, kita halalkan semuanya, sedangkan ia haram pada pandangan agama kita, juga agama lain.

Sesungguhnya yang halal terlalu banyak, kenapa sedikit yang haram, terlalu takut untuk diselesaikan secara tuntas, sedangkan agama lain pun mengharamkan juga?

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button