Berita Utama

54 ahli MT UMNO sokong BN-PH bergabung, kata Zahid

Hanya dua tak setuju, seorang darinya 'gila talak' lepas dipecat

SEREMBAN, 15 Muharam 1445H, Rabu – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan parti Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), yang membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan bukanlah sepihak.

Dalam ucapannya pada ceramah berkempen bagi calon BN malam tadi, Zahid berkata, majoriti ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika itu menyokong keputusan untuk bekerjasama dengan PH dan membentuk kerajaan perpaduan.

Pengerusi BN itu berkata, UMNO membuat keputusan atas titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kebuntuan politik. 

Parti itu, katanya, mengadakan mesyuarat selama lima jam di kalangan 56 ahli majlis tertinggi parti.

“Daripada jumlah itu, 54 daripada mereka bersetuju dengan saya untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan membentuk kerajaan perpaduan.

“Hanya dua daripada mereka tidak bersetuju. Salah seorang daripada mereka termasuk seorang pemimpin, yang meminta saya memecatnya selepas saya menggantungnya daripada parti.

“Dia minta saya pecat dia. Itu (UMNO) Tanjong Karang (ketua bahagian). Dan sekarang, dia ‘gila talak’,” kata Zahid seperti dilapor NST.

Walaupun Zahid tidak menyebut sebarang nama, difahamkan beliau merujuk kepada Tan Sri Noh Omar, yang dipecat daripada UMNO awal tahun ini.

“Mesyuarat yang bermula pada jam 8.30 malam itu hanya berakhir pada jam 1.31 pagi keesokan harinya, kerana saya memberi peluang kepada ahli majlis tertinggi parti untuk berkongsi pandangan mengenai perkara itu.

“Dan sesetengah orang mempunyai keberanian untuk mengatakan bahawa saya tidak demokratik (semasa membuat keputusan untuk UMNO bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan),” katanya.

Pada majlis sama, Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi PH khususnya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabut kerana memberikan kerusi DUN Lenggeng kepada BN pada pilihan raya negeri.

Sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan ke-14, Lenggeng merupakan salah satu daripada tiga kerusi yang disandang Amanah.

“Alhamdulillah Lenggeng diberikan kepada UMNO dan BN atas semangat muafakat dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli BN dan UMNO daripada mensabotaj parti itu pada pilihan raya negeri 12 Ogos di Negeri Sembilan.

“Insyallah (Insya-Allah), rakan-rakan dari PKR, Amanah dan DAP akan membantu kita dalam pilihan raya negeri.

“Bagaimanapun, saya ingin katakan di sini ialah jangan sabotaj dari dalam parti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button