Berita Utama

PRN: Tiada cuti umum khas 12 Ogos di Selangor

Ambil kira implikasi kewangan dari segi gaji pekerja: Amirudin

SHAH ALAM, 18 Muharam 1445H, Sabtu – Kerajaan negeri Selangor tidak bercadang untuk mengisytiharkan 12 Ogos sebagai cuti umum khas bagi memudahkan pengundi, khususnya pekerja hadir ke pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar sementara, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira implikasi kewangan yang dikaitkan dengan langkah sedemikian.

Bagaimanapun, Amirudin yakin pengundi telah membuat pengaturan yang diperlukan berikutan pengumuman sebelum ini daripada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga hari penamaan calon dan mengundi.

“Kebimbangan yang lebih besar terletak pada hakikat bahawa kita kini kerajaan negeri sementara, dan keputusan seperti ini harus diambil dalam mesyuarat EXCO.

“Dan kini sebagai EXCO sementara, kami tidak mahu membuat keputusan sedemikian kerana ia hanya akan mengundang kritikan dan kontroversi.

“Jika ada keperluan (untuk cuti umum khas), kerajaan pusat boleh mengisytiharkannya. Tetapi akan ada implikasi kewangan dari segi gaji pekerja,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan MITIDAY2023 Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Raja Muda Musa di sini.

Amirudin berkata, PRN ini sudah dirancang dan pelaksanaannya bukanlah terlalu mendadak. 

“Saya percaya orang ramai sudah memikirkan cara untuk mengambil cuti kerja untuk mengundi dan menguruskan perjalanan mereka ke pusat mengundi, terutama bagi mereka yang mengundi di negeri lain.

“Tetapi kebanyakan pengundi di Selangor menetap di Lembah Klang dan mungkin ada yang mengundi di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Perjalanan keluar negeri tidak terlalu lama dan saya tidak fikir ia membebankan,” katanya.

Amirudin berkata, perkhidmatan bas percuma disediakan di negeri ini supaya boleh membantu pengundi pergi ke pusat mengundi.

Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah, menghadapi PRN selepas DUN mereka dibubarkan pada akhir Jun dan awal bulan lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button