Berita Utama

Tugas pengundi muda pangkah calon berwibawa

Khidmat bakti lebih besar perlu tentukan siapa boleh tadbir negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Muharam 1445H, Selasa – Penyertaan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini mampu membawa perubahan dalam sistem politik negara kita.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kehadiran pengundi muda terutama yang pertama kali menunaikan tanggungjawab pastinya akan mengubah landskap politik negara.

“Kalau sebelum ini kita menilai pemimpin atau calon bertanding secara fizikal, pergi rumah ke rumah, perlu tawan perasaan pengundi-pengundi. Tetapi sekarang media sosial sangat memainkan peranan.

“Siri kempen secara fizikal, ceramah di merata negeri kurang dapat sambutan tetapi apabila kita lihat Facebook, TikTok, Twitter mereka sangat tertarik dengan ceramah hingga ratus ribu tontonan.

“Jadi keadaan ini menggambarkan pengundi muda itu mampu menyegarkan politik di negara kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini,

Justeru, beliau mengharapkan anak muda menggunakan peluang yang ada untuk memangkah calon yang berwibawa demi pembangunan negara.

Katanya, tugas anak muda semua hari ini bukan sekadar mencari kerja dan menikmati kehidupan semata-mata, tetapi khidmat bakti lebih besar adalah perlu menentukan siapa yang boleh mentadbir negara.

Pengundi muda merangkumi lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan lebih 9.7 juta pengundi berdaftar yang akan memilih calon atau parti bertanding di PRN Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun akan mengundi pada PRN.

Seramai 661,905 adalah pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun, yang kali pertama akan mengundi pada PRN Sabtu ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button