Berita Utama

UMNO lemah, tak berani tuntut jawatan MB Negeri Sembilan

'Menang 14, tapi sanggup serah pada PKR yang hanya dapat 5 kerusi DUN'

BANGI, 2 Safar 1445H, Sabtu – UMNO semakin lemah dan parah apabila sanggup mengorbankan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, meskipun parti itu mendominasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Bagi Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim, UMNO secara logiknya wajar menduduki jawatan tertinggi di negeri itu, memandangkan parti terbabit menang di 14 kerusi daripada 17 kerusi DUN yang ditandingi.

Meskipun Pakatan Harapan (PH) mendapat 17 kerusi DUN, tetapi dari pecahan parti, UMNO mendahului dengan jumlah tertinggi, diikuti DAP 11 kerusi, PKR hanya lima kerusi dan Amanah satu kerusi.

“Ini menggambarkan bahawa UMNO semakin parah, lemah dan tidak berani untuk menuntut hak sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan walaupun UMNO memenangi 14 kerusi itu.

“Ini suatu yang merugikan, sedangkan satu Malaysia undi UMNO telah pun memberi isyarat bahawa orang-orang UMNO tidak bersetuju untuk UMNO bekerjasama dengan PH kerana di dalam PH itu ada DAP yang sangat dominan.

“Tapi sayang pemimpin UMNO tak peduli dan ambil kisah tentang suara akar umbi, tetap juga meneruskan kerjasama dengan DAP-PH sehingga mereka boleh menjadi MB,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Atas sebab itu, beliau tertanya-tanya di manakah pengharapan yang boleh diletakkan orang Melayu kepada UMNO jika keadaan parti itu sebegini tenat dan sarat ketakutan dengan pemimpin sendiri.

“Tak berani menegur, tak berani berubah walaupun sedang menuju jurang paling dalam. Sayangnya UMNO suatu masa nanti akan menjadi tak lebih kurang hanya sebagai NGO.

“UMNO hari ini saya lihat tak lebih sekadar memperkuatkan, memperkukuhkan gerakan agenda PH… bukan parti yang cuba untuk bangun dan memimpin negara ini, sama ada di peringkat nasional atau negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button