Berita Utama

Logo Hari Kebangsaan: Zahid bidas cadangan Ketua Pemuda PN

Fadhli tak layak jadi Ahli Parlimen jika bersikap terlalu jumud

BANGI, 3 Safar 1445H, Ahad – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang mahu menggunakan tema dan logo berbeza dalam sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri yang diperintah gabungan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan tidak semua perkara boleh dipolitikkan.

“Dia ini gila ke apa? Ini bukan soal politik sebab soal bendera perayaan Hari Kebangsaan adalah acara nasional.

“Saya fikir jangan politikkan perkara ini dan dia tidak layak jadi Ahli Parlimen kalau sikap dia terlalu jumud,” katanya.

Semalam, Ahmad Fadhli berkata, negeri di bawah pentadbiran PN kemungkinan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Katanya, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan Bunga Raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan berkenaan sebagai jumud sambil menegaskan pendekatan patriotik tidak boleh dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button