Berita Utama

Titah Sultan Selangor tubuh Jawatankuasa Khas Undang-Undang Islam tepat

Konflik bidang kuasa Persekutuan, negeri wajar diselesaikan segera

BANGI, 12 Safar 1445H, Selasa – Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang Islam yang berbangkit disifatkan sebagai langkah tepat.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

“Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut adalah sangat tepat dan sesuai pada masanya dalam suasana kebelakangan ini.

“Di mana terdapat banyak kes-kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah telah dicabar di Mahkamah Persekutuan khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam membuat dan meluluskan undang-undang (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

“Cabaran-cabaran tersebut sedikit sebanyak telah memberikan imej dan persepsi negatif terhadap Mahkamah Syariah yang berada di bawah bidang kuasa DUN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah satu Jawatankuasa Khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal mengenai kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Musa menegaskan bahawa konflik bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri wajar diselesaikan dengan segera agar masyarakat dan negara ini dapat bergerak maju ke hadapan.

Justeru, beliau menyarankan, cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas itu berpegang kepada prinsip menghormati pemisahan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.

Ia mesti mencerminkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3), serta menghormati kuasa eksklusif Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas tersebut juga bukan semata-mata tertumpu kepada undang-undang (Syariah) yang diluluskan oleh DUN.

“Bahkan termasuklah pindaan kepada peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button