Berita Utama

Nilai ringgit jatuh tapi Kerajaan Madani masih tersenyum

'Nak tunggu cecah RM5 sedolar AS baru nak tekan butang panik?'

BANGI, 18 Rabiulawal 1445H, Rabu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan Kerajaan Madani masih ‘tersenyum’ meskipun mata wang negara hari ini jatuh ke paras RM4.72 berbanding dolar AS.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, kejatuhan nilai ringgit memberi impak kepada ekonomi, selain pendapatan rakyat semakin terhakis dan terpaksa berbelanja dalam keadaan kemiskinan serta kos sara hidup yang mencengkam.

“Nak tunggu sampai cecah RM5 sedolar AS baru nak tekan butang panik? Walaupun sebahagian besar rakyat Malaysia tidak merasai tetapi apakah benar ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan?

“Bagaimana dengan eksport import negara, kadar imbangan pembayaran negara yang berorientasikan domestik dan FDI (Pelaburan langsung asing) yang dimomok-momokkan Kerajaan Perpaduan ala Madani dalam tempoh 10 bulan ini?,” soalnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dengan kejatuhan ringgit berterusan, Razali berkata, antara tindakan tuntas adalah menambat ringgit iaitu dasar yang pernah Malaysia laksanakan ketika krisis kewangan Asia 1997/1998 yang mana ketika itu Perdana Menteri kesepuluh adalah Menteri Kewangan.

Katanya, Malaysia terselamat kerana tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menidakkan terus berlaku penguncupan ekonomi negara ketika itu.

“Persoalan besar di sini mengelak keadaan kemelesetan ekonomi yang dicipta sendiri barisan Kabinet Perpaduan ala Madani yang dilihat tidak kompeten.

“Sebahagian besar menteri tidak kompeten, gagal mencapai keberhasilan gerak kerja untuk memulihkan ekonomi, memulihkan harapan dan keyakinan rakyat sendiri.

“Soalnya adakah rakyat mengambil kisah apa sahaja alasan yang kononnya penambatan ringgit akan menyebabkan negara kehilangan kedaulatan monetari?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button