Berita Utama

Bersatu hantar surat tunjuk sebab pada MP Kuala Kangsar

Tindakan ke atas Iskandar Dzulkarnain ikut perlembagaan parti

BANGI, 12 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Tindakan itu susulan Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan isu peruntukan pada 12 Oktober lalu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, surat tunjuk sebab itu diserahkan kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti.

Beliau berkata, tindakan itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga antara lain membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, YB Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

“Lembaga Disiplin parti telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Iskandar Dzulkarnain, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitik beratkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) itu memberi jaminan tidak akan meninggalkan atau mengkhianati partinya dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Menerusi kenyataan sama, Hamzah turut memaklumkan, mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu turut menetapkan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 23 hingga 25 November depan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

“Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Tahung Bersatu akan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button