Berita Utama

Bai’ah sekat wakil rakyat Bersatu berpaling tadah

Pendirian tegas untuk terus setia dengan parti diwakili

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Saranan membuat perakuan sumpah setia atau bai’ah kepada semua calon pilihan raya daripada Bersatu yang menggunakan lambang PAS untuk bertanding diyakini mampu mendisiplinkan bakal wakil rakyat berkenaan.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tindakan itu wajar dilakukan supaya setiap calon terutama yang bertanding mewakili Bersatu mempunyai garis panduan dan pendirian tegas untuk terus setia dengan parti yang diwakili.

“Saya melihat cadangan ini sebagai langkah positif kerana bukan sahaja mampu mendisiplinkan setiap wakil rakyat itu tetapi memberi peringatan supaya terus setia dengan parti yang dibawa.

“Selain itu, memberi sekatan supaya tidak mudah berpaling tadah dengan pujukan dan rayuan dengan pihak-pihak luar. Sumpah setia ini juga turut dilakukan oleh UMNO sendiri cumanya parti itu menggunakan nama lain iaitu Akaun Bersumpah (SD).

“Namun konsepnya adalah sama iaitu sumpah setia kepada parti untuk terus kekal bersama walau dalam apa juga keadaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun Dr Ahmad Atory berkata, cadangan untuk membuat sumpah setia itu perlu dibawa kepada mesyuarat agung Bersatu untuk dipersetujui bersama.

Sekiranya cadangan itu dipersetujui, ia wajar dipercepatkan supaya dapat mengelak lebih ramai wakil rakyat yang termakan rayuan demi kepentingan peribadi.

Terdahulu, Musyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin mencadangkan supaya calon-calon pilihan raya akan datang daripada Bersatu membuat perakuan sumpah setia atau bai’ah sekiranya mahu bertanding menggunakan lambang PAS.

Cadangan itu disuarakan susulan tindakan dua Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini bertanding menggunakan lambang PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu beralih arah memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hashim berkata, sumpah setia itu mampu mencegah sokongan kepada pihak lawan.

Pada 7 November lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diikuti Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik keesokan harinya.

Episod beralih arah itu bermula daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Anwar pada 12 Oktober lalu.

Ia kemudian diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang membuat keputusan sama dengan alasan mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta masalah bekalan air dan elektrik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button