Berita UtamaDunia

Ribuan penduduk Balkan Barat sertai himpunan aman solidariti Palestin

Apa yang berlaku bukan peperangan sebaliknya pembunuhan beramai-ramai

BELGRADE, 29 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Ribuan penduduk di Balkan Barat berhimpun secara aman di beberapa lokasi untuk menunjukkan sokongan dan solidariti mereka kepada penduduk Palestin.

Mereka berhimpun di beberapa dataran utama di bandar Serbia, Bosnia dan Herzegovina, Montenegro sambil membawa bendera Palestin dan Serbia serta melaungkan slogan seperti ‘Bebaskan Palestin’.

Selain membawa bendera, mereka juga membawa sepanduk yang menuntut ‘Tindakan genosid ditamatkan segera di Palestin’ dan ‘Kebebasan untuk Palestin’.

Di Podgorica, ibu negara Montenegro, penduduk berhimpun secara aman di hadapan bangunan kerajaan.

Mereka mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan ‘Anda tidak perlu menjadi seorang muslim untuk bersama Palestin, hanya menjadi manusia!’ sambil membawa sepanduk bertulis ‘Bebaskan Palestin’.

Situasi sama berlaku di Bosnia apabila ribuan rakyatnya berhimpun di Dataran Bascarsija yang bersejarah, salah satu simbol ibu kota Sarajevo.

Mereka juga memegang sepanduk ‘Semalam Srebrenica, hari ini Gaza’ selain ‘Hentikan genosid’ dan ‘Bebaskan rakyat Palestin’.

Salah seorang penganjur perhimpunan itu, Safija Tadefi berkata, mereka berkumpul untuk menunjukkan bahawa Bosnia dan Herzegovina menyokong penduduk Gaza.

Katanya, apa yang berlaku di Palestin hari ini bukanlah peperangan, sebaliknya ia adalah pembunuhan beramai-ramai.

Sementara itu, seorang penunjuk perasaan, Munevera Cehajic berkata, penduduk Bosnia pernah melalui keadaan itu dan tahu apa yang dimaksudkan dengan penindasan.

“Saya sangat kasihan dengan rakyat di Gaza dan mengutuk tindakan yang dilakukan rejim Zionis kerana mereka juga pernah mengalami pembunuhan beramai-ramai.

“Mereka tahu bagaimana mereka bertahan dan kini mereka melakukan perkara yang sama kepada rakyat Palestin.

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini; mengebom hospital, ini untuk membunuh begitu ramai kanak-kanak. Saya tiada kata-kata untuk diucapkan. Cukuplah,” katanya.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button