Berita UtamaDunia

Jordan, Mesir kekal bantah tindakan usir rakyat Palestin

Seluruh dunia perlu dorong ke arah gencatan senjata segera

KAHERAH, 15 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Raja Jordan, Raja Abdullah dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi menolak sebarang percubaan Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat, lapor media kerajaan.

Ketika pertemuan di Kaherah, kedua-dua pihak mengulangi penolakan sepenuhnya terhadap semua percubaan untuk ‘mencairkan’ isu Palestin dan secara paksa memindahkan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Di kesempatan sama, Raja Jordan mengulang sokongan negaranya terhadap pendirian tegas Mesir berhubung percubaan untuk menggantikan penduduk Gaza.

Raja Abdullah dan El-Sisi menekankan keperluan untuk seluruh dunia mendorong ke arah gencatan senjata segera di Gaza dan penyampaian bantuan kemanusiaan yang mencukupi serta mampan.

Langkah itu bagi mengurangkan keadaan tragis dan penderitaan rakyat Gaza, lapor agensi berita Jordan Petra memetik kenyataan Mahkamah Diraja Jordan.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab politik dan etika yang besar ke arah melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengekalkan integriti entiti antarabangsa ini.

Mereka juga menekankan keperluan untuk menentang sebarang percubaan menduduki semula bahagian Gaza, membina zon penampan di semenanjung Palestin yang terkepung atau memisahkannya dari Tebing Barat.

Israel mempergiatkan serangan darat, udara dan lautnya ke atas tengah dan selatan Semenanjung Gaza minggu ini, memberitahu orang awam untuk meninggalkan kedua-dua kawasan itu, walaupun ramai yang berkata tiada lagi tempat selamat untuk dituju.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, tentera Israel telah membunuh 195 rakyat Palestin dan mencederakan 325 dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah kematian yang direkodkan kepada 21,110, dengan 55,243 cedera.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button