Berita Utama

Keadaan politik serba tak kena, berapa lama Kerajaan Madani akan bertahan?

Gabungan parti kerajaan berbeza 'interest' memang tidak akan bertahan lama

BANGI, 24 Jamadilakhir 1445H, Sabtu – PAS Pahang menjangkakan kerajaan negeri – di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) – akan tumbang sekiranya Kerajaan Persekutuan jatuh.

Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, kejatuhan itu bukan kerana ‘ditebuk’ tetapi keserasian yang semakin hari semakin retak dan menanti belah.

“Kalau perkara itu berlaku di Pahang, kami sudah kenal pasti dan hanya tinggal untuk muktamadkan sahaja lima atau tujuh ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dari UMNO yang telah bersedia untuk bersama membentuk kerajaan Pahang,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Aireroshairi berkata, penjenamaan ‘langkah demi langkah’ bermula sejak sepuluh tahun lalu telah menjadi trend politik Malaysia bagi menggulingkan kerajaan sedia ada.

Menurutnya, Langkah Kajang, Langkah Sheraton, Langkah Dubai merupakan nama-nama yang dijenamakan untuk meruntuhkan kerajaan sedia ada.

“Yang nyata, semua ini bermula dari bekas PM (Perdana Menteri) ‘in waiting‘ yang paling lama dalam sejarah hari ini akhirnya berjaya menjadi PM yang seterusnya. Entah berapa lama kerajaan ini akan bertahan.

“Tanpa angin dan ribut, tiba-tiba muncul nama Langkah Dubai, yang kemudiannya disakat atau dicuit oleh panglima perang PAS, YB Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sehingga isu ini menjadi semakin panas.

“Apa yang penting, gabungan parti kerajaan yang mempunyai ‘interest’ yang berbeza memang tidak akan bertahan lama. Saya rakyat biasa yang merasakan tekanan ekonomi yang tidak pernah dirasakan sebelum ini juga sangat berharap kerajaan sedia ada tidak bertahan lama,” katanya.

Beliau mendakwa, kegagalan dalam mengurus negara ini jelas pada pengurusan barangan keperluan asas yang tidak stabil dengan harga barang meningkat, kekurangan beras, ayam dan telur di pasaran.

Selain itu, dakwanya, masalah hubungan di antara kaum yang sentiasa panas merupakan indikator kelemahan PH-BN dalam pemerintahan.

“Rakyat berada dalam kelemasan dan semakin hari semakin hilang kemampuan untuk bertahan dengan suasana sosioekonomi dan politik yang terumbang ambing.

“DAP sedang memperkudakan UMNO untuk mencapai matlamat politik mereka sementara UMNO sedang terkial-kial mempertahankan kewujudan mereka dalam arena politik negara, menyebabkan mereka perlu bersama DAP.

“PKR menjadi alat Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memegang tampuk kuasa. Keadaan politik Malaysia dalam keadaan serba tak kena,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button