Berita Utama

GSPP sambut baik keputusan ICJ, dunia makin memihak pada Palestin

Israel akan jatuh dengan polisi diputuskan kerajaan seluruh dunia

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Rejab 1445H, Sabtu – Gerakan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) mengenai kes pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang diusulkan Afrika Selatan terhadap Israel.

Pengerusinya, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, keputusan badan dunia itu secara rasmi mengakui perlakuan jenayah yang dilakukan Israel.

Bahkan ia menampakkan sokongannya terhadap gencatan senjata kerana perlaksanaan keputusan itu amat bergantung kepada langkah tersebut.

“Majoriti negara di dunia memihak kepada Palestin dan semakin hari semakin kuat mengutuk Israel. Keputusan ICJ disambut baik oleh majoriti negara di dunia.

“Sekutu Israel walaupun sebahagian masih menunjukkan sikap menyokong dan mempertahankannya, tetapi sudah mula nampak keretakan di dalam hubungan mereka dan Israel,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza selaras dengan kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid.

Mahkamah juga mengarahkan Israel memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.

ICJ juga memutuskan bahawa Israel mesti membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza bagi menangani kesan buruk pada kehidupan di Gaza.

Rentetan keputusan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga, Muhammad Fauzi mengesyorkan kepada Malaysia mengambil peranan lebih aktif di dalam isu yang dibawa oleh Afrika Selatan serta negara lain di ICJ.

Beliau percaya suara dan langkah proaktif Malaysia sebagai negara berpengaruh di dalam dunia Islam akan mempengaruhi pendirian negara-negara Islam yang lain.

“Israel tidak akan jatuh dengan demonstrasi dari rakyat seluruh dunia, tetapi dengan polisi yang diambil oleh kerajaan-kerajaan negara di dunia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button