Berita UtamaDunia

Israel kepung hospital di Khan Younis, ribuan berisiko mati

Pusat perubatan kekurangan ubat bius dan bekalan pembedahan

GAZA, 28 Rejab 1445H, Jumaat – Hospital Nasser di Khan Younis – kemudahan perubatan terbesar yang masih berfungsi di Gaza – berdepan malapetaka kemanusiaan besar.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, Ashraf al-Qudra berkata, pengepungan menyeluruh Israel ke atas hospital dan serangan yang disasarkan di kawasan sekitarnya menyebabkan ribuan orang di dalam kompleks itu berisiko kematian.

“(Terdapat) 300 kakitangan perubatan, 450 cedera dan 10,000 orang kehilangan tempat tinggal di Kompleks Perubatan Nasser terbunuh dan kelaparan.

“Hospital yang dikepung mengalami kekurangan ubat bius dan rawatan rapi serta bekalan pembedahan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, kakitangan dan pesakit berada dalam bahaya di Hospital al-Amal di Khan Younis.

“Tembakan artileri yang sangat dekat ke Hospital PRCS Al-Amal, dengan serpihan-serpihan mengenai bangunan hospital di tengah-tengah tembakan berat yang berterusan, menimbulkan bahaya kepada keselamatan kakitangan dan pesakit,” katanya di X pada Khamis.

PRCS yang mengendalikan kemudahan itu turut memaklumkan, kakitangannya sengaja disasarkan oleh tentera Israel ketika mereka menjalankan misi untuk memindahkan sejumlah orang yang cedera di kawasan yang dikepung pada Rabu.

Paramedik Mohammed al-Omari terbunuh akibat serangan itu dan dua rakan sekerjanya cedera.

“Ini menjadikan jumlah rakan sekerja yang terbunuh ketika menjalankan kerja kemanusiaan mereka sejak permulaan perang ke atas Gaza kepada 12,” kata PRCS.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan sekurang-kurangnya 27,840 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober lalu.

Lebih 67,317 telah cedera akibat serangan Israel di wilayah yang disekat.

Katanya, dalam tempoh 24 jam lalu tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 130 orang dan mencederakan 170 yang lain.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button