Berita Utama

Nama produk perlu ambil kira sensitiviti kaum

Buat secara menyeluruh supaya lebih adil kepada semua

 

SEPANG, 25 Rabiulawal 1443H, Isnin – Peraturan baharu membabitkan kelulusan ke atas jenama produk di negara ini akan mengambil kira sensitiviti semua kaum, termasuk mengambil kira sensitiviti masyarakat bukan Islam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu perlu dibuat dengan lebih menyeluruh dan memerlukan penelitian supaya lebih adil kepada semua pihak.

“Secara keseluruhan memang ada dibincang, bukan hanya kepada satu agama tetapi kepada semua.

“Ada perkara yang mungkin sensitif kepada orang Dayak, ada yang sensitif kepada orang Cina.

“Kalau kita nak buat, biarlah buat menyeluruh. Ini memerlukan kita teliti perkara itu supaya ia lebih adil,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan penjualan kit ujian kendiri COVID-19 bawah paras RM10 seunit dan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 di Gateway @ klia2, Sepang, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jemaah menteri bersetuju untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa.

Syarikat pengeluar arak jenama ‘Timah’, Winepark Corporation (M) Sdn Bhd membuat permohonan tempoh selama seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.

Penggunaan jenama ‘Timah’ pada arak keluaran tempatan itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan umat Islam menjadi tular sebelum dibincangkan dalam Sidang Dewan Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button