Berita Utama

Harga ikan akan pulih dua minggu lagi

Ikan sejuk beku dijual kepada pengguna pada harga berpatutan

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Harga ikan di pasaran tempatan yang sedang meningkat, dijangka akan kembali pulih dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, cuaca yang tidak menentu, selain angin terlalu kencang ketika ini menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Keadaan itu sekali gus menjejaskan jumlah tangkapan ikan segar, berbanding permintaan tinggi dan secara tidak langsung harga turut meningkat,” katanya seperti dilapor BH Online.

Berikutan itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap pengguna dapat membeli ikan sejuk beku yang dijual pada harga berpatutan dengan kualitinya tetap dijamin.

Katanya, pengguna tidak perlu bimbang kerana ikan sejuk beku turut melalui proses sama seperti ikan segar.

“Mentaliti pengguna perlu diubah kerana sekiranya mereka membeli ikan segar, ia tetap akan disejuk beku dan perkara itu adalah proses yang sama dengan ikan sejuk beku sedia ada.

“Sebanyak 90 peratus daripada ikan yang dinikmati pengguna di restoran atau kedai makan juga adalah ikan sejuk beku kerana kita mempunyai garis panduan untuk memastikan ikan dengan menggunakan sistem teknologi pembekuan secara seekor-seekor ini berkualiti.

“Sebelum ini, ikan sejuk beku hanya dijual kepada peniaga restoran, tetapi kini demi menyahut seruan kerajaan pada program Jualan Keluarga Malaysia, kita menjual kepada pengguna lain juga,” katanya.

Justeru, katanya, NEKMAT masih mempunyai stok bekalan ikan sejuk beku mencukupi untuk diedarkan pada harga berpatutan.

“Ketika ini, kira-kira 60 tan ikan sejuk beku sudah terjual dan banyak lagi akan diedarkan dalam tempoh terdekat kepada persatuan nelayan di seluruh negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button