Berita Utama

Kelantan benar solat Jumaat, aktiviti di masjid

PKPB, PKPD di 3 mukim terbabit turut ditamatkan: Maik

KOTA BHARU, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan membenarkan solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti di masjid, surau serta musalla di seluruh negeri Kelantan kembali beroperasi bermula 21 Disember.

Yang Dipertua  Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, semua masjid, surau dan musalla itu perlu mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan.

Kebenaran itu juga sekali gus bermaksud bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga mukim iaitu Kubang Kerian, Kota Bharu, Kusial, Tanah Merah serta Madrasah Ad-Diniah Kampung Huma, Pasir Puteh ditamatkan.

“Surau dan musalla yang terletak di dalam tiga kawasan tersebut dibenarkan beroperasi mengikut garis panduan PKPP.

“Bagi arahan penutupan surau dan musalla yang terletak dalam Kawasan Kluster Mengketil dan Kawasan Istana Negeri Kubang Kerian sebelum ini turut dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bersama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar wabak COVID-19 berakhir sepenuhnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button