Berita Utama

Alpa, rasuah antara punca sempadan dibolosi PATI: KPN

Perbuatan tak bertanggungjawab, pengkhianatan kepada negara

KUALA LUMPUR, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Masalah alpa dan rasuah segelintir anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), menjadi antara punca sempadan negara mudah dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau menjelaskan, memang ada penggiliran tugas antara unit dalam PGA, namun ia belum memadai untuk menghalang perkara berkenaan.

“Penggiliran tugas dilakukan setiap bulan. Namun selepas bertahun-tahun, akhirnya penggiliran berputar dalam pasukan itu juga.

“Justeru, berlakulah kealpaan.. kemudian berlaku ‘silaturahim’ antara petugas tadi dengan orang tempatan dan orang luar yang menjadi ahli sindiket (penyeludupan PATI),” katanya seperti dipetik media tempatan.

Beliau berkata, ahli sindiket terbabit akhirnya berjaya menjalinkan hubungan dengan anggota penguat kuasa di sempadan sehingga membawa kepada gejala rasuah.

“Mereka mengambil duit bayaran tertentu sama ada mengikut bulanan, kepala (bilangan PATI) atau pun trip.

“Ini adalah perbuatan sangat tidak bertanggungjawab yang saya anggap sebagai pengkhianatan kepada negara kerana mengakibatkan beribu-ribu PATI dapat membolosi sempadan,” katanya.

Justeru melalui Op Benteng COVID-19, beliau berkata, tindakan holistik diambil membabitkan semua agensi penguat kuasa dan pasukan keselamatan.

“Ia termasuk bantuan maklumat daripada penduduk kampung dan akhirnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya mengenal pasti serta menangkap anggota kita yang melakukan jenayah terancang itu.

“Mereka ditangkap dan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, 80 individu sudah didakwa, manakala 22 lagi kertas siasatan pertuduhan masih pada peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.

“Kita juga sedang memburu 11 orang lagi yang menjadi ‘kepala’ kepada sindiket terbabit.

“Usaha mengesan sindiket lain terus dijalankan melalui maklumat dikongsi semua agensi penguat kuasa dan pasukan keselamatan yang terbabit Op Benteng COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button