Berita Utama

Kerajaan patut perketat lagi proses kuarantin kes import

Jangan sia-siakan pengorbanan petugas barisan hadapan kita: Najib

BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Kerajaan perlu mengambil tindakan serta-merta untuk memperketatkan proses kuarantin bagi rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air, saran Datuk Seri Najib Razak.

Gesaan bekas Perdana Menteri itu susulan kurang senang dengan langkah kerajaan terus membenarkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin di rumah serta mengenakan denda kompaun sebanyak RM1,000 kepada mereka yang ingkar kuarantin.

Najib turut membandingkan tindakan Singapura, Thailand dan Australia yang dilihat semakin memperketatkan proses kuarantin mereka.

“Hari ini, Singapura tidak lagi membenarkan mereka yang tiba dari Hong Kong dan Australia untuk kuarantin di rumah. Perlu dikuarantin di pusat kuarantin rasmi kerajaan.

“Thailand mengumumkan bahawa semua pelawat termasuk staf diplomatik tidak lagi dibenarkan untuk kuarantin di rumah. Sementara Australia umum mereka yang ingkar kuarantin akan dipenjarakan selama enam bulan dan tidak lagi akan didenda,” kongsinya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menerusi hantaran sama, Najib yang kini masih berdepan dengan pertuduhan mahkamah menegaskan bahawa rakyat Malaysia telah berkorban untuk menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua bulan yang amat susah.

Bahkan tegasnya, pengorbanan petugas barisan hadapan kita cukup besar ketika mereka mengambil risiko berdepan dan melawan COVID-19.

“Oleh itu, jangan biarkan usaha kita semua menjadi sia-sia jika gelombang kedua melanda akibat kes import tidak dikawal betul dan kita perlu mengulang semula tempoh PKP sekali lagi.

“Kita maklum bahawa kuarantin di rumah bersama keluarga ada banyak kelemahan manakala kit ujian pantas COVID-19 di lapangan terbang bukan 100 peratus tepat,” katanya.

Hari ke-37 Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan sejumlah 707 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air.

Semua yang tiba pada 17 Julai adalah dari beberapa negara iaitu China, Indonesia, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UEA), Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.

Difahamkan, seorang daripada mereka telah dibawa ke hospital bagaimanapun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memaklumkan sebab individu itu dimasukkan ke hospital.

Katanya, seramai 706 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button