Berita Utama

Kecewa! KPD Sungai Buloh terlalu cepat nafi wujud premis judi

Malaysia ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)

BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim meluahkan rasa kecewa terhadap respon awal Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar dalam isu pembongkaran premis perjudian dan penjualan rokok seludup yang ditularkan di media sosial, baru-baru ini.

Ahmad Amzad berkata, Shafa’aton terlalu cepat membuat kesimpulan penafian terhadap dakwaan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, dengan menganggap ia hanya tohmahan.

“Saya amat kecewa dengan respon awal Ketua Polis Daerah yang berkenaan yang terlalu cepat membuat kesimpulan penafian.

“Yang memberi maklumat, membantu harus dihargai dan dilindungi. Bukan sebaliknya. Kita ada akta yang sepatutnya melindungi pemberi maklumat – Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)

“Bukan percuma dan mudah untuk beliau (Mohd Asri) tanpa jemu turun naik Bukit Aman dan pelbagai pejabat penguatkuasaan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ perlu menatijahkan kerjasama erat, menghargai masyarakat yang tampil membantu polis menjaga keselamatan dan ketenteraman negara. 

Malah, pengasas gerai burger yang tular itu adalah contoh warganegara yang diinginkan kerana berani tampil dan berinisiatif untuk mencegah kemungkaran, tegas Ahmad Amzad.

“Beliau nyata bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW. Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

“Maksudnya, Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman,” katanya memetik Riwayat Muslim (78).

Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mempamerkan pendirian yang positif dengan memberikan jaminan isu berkenaan akan disiasat dan mengucapkan penghargaan kepada pemberi maklumat.

Semalam, Abdul Hamid memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan segera bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan warga asing di Sungai Buloh.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan tegas pasti diambil terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu.

Hari ini, Mohd Asri atau juga dikenali dengan nama Asri Janggut dilaporkan  bertemu dengan Abdul Hamid di Bukit Aman.

Difahamkan pertemuan antara Mohd Asri dan Abdul Hamid itu berlangsung kira-kira jam 3 petang tadi.

Pertemuan itu turut dimuat naik di laman Facebook Abdul Hamid Bador sebentar tadi.

Selain Abdul Hamid, Asri juga dikatakan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bangunan Parlimen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close