4 lagi kluster dikenal pasti hari ini
Kluster Bah Ketil babitkan lelaki ada sejarah perjalanan ke Tawau
KUALA LUMPUR, 13 Safar 1442H, Khamis – Empat kluster baharu COVID-19 dikenal pasti iaitu Kluster Jalan Meru di Selangor, Kluster Joo Hwa di Sabah, Kluster Selasih di Putrajaya dan Kluster Bah Ketil di Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Jalan Meru dikenal pasti di Klang dengan kes indeks kluster itu (iaitu kes ke-11,148) membabitkan lelaki tempatan berumur 30 tahun, yang mula bergejala sejak 24 September.
“Beliau dikesan positif pada 29 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti melibatkan warga tempatan bagi kluster ini.
“Kontak rapat sedang dikenal pasti dan saringan sedang dirancang oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.
Berhubung Kluster Joo Hwa yang dikenal pasti di Tawau, Dr Noor Hisham berkata, kluster itu membabitkan kes indeks (iaitu kes ke-10,273) seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun.
“Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 14 Sept dan dikesan positif pada 20 Sept. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat kes positif melibatkan warga tempatan bagi kluster itu dikenal pasti. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya.
Beliau berkata, Kluster Selasih, Wilayah Persekutuan Putrajaya pula dikenal pasti hasil saringan kes indeks lelaki warga tempatan berumur 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 20 September dan 24 hingga 27 September.
“Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 25 September, kes tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada 27 September dan dikesan positif pada 28 September.
“Susulan itu, enam lagi kes positif bagi kluster itu dikenal pasti hasil saringan kontak rapat membabitkan warga tempatan, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.
Sementara itu, Kluster Bah Ketil dikenal pasti di daerah Baling dan Langkawi membabitkan kes indeks lelaki warga tempatan berumur 39 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau, Sabah pada 17 hingga 21 September, kata Dr Noor Hisham. -Bernama