Berita Utama

‘Tak perlu PRU, kita sudah ada kerajaan, menteri, buatlah kerja’

Rakyat susah disebabkan sikap ahli politik yang tidak berjiwa besar

BANGI, 27 Jamadilawal 1442H, Isnin – Ahli politik akan dibenci rakyat sekiranya masih sibuk memikirkan soal perebutan kuasa termasuk menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Sepatutnya perkara utama yang perlu diselesaikan adalah benda asas seperti nyawa, keselamatan dan makanan, kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

“Bukan saya nak kata PRU itu tak penting, PRU itu penting, tapi kita dah ada PRU. Kita sudah ada kerajaan, sudah jadi wakil rakyat, kita sudah ada menteri, buatlah kerja.

“Buat pilihan raya, masa habis, duit habis, rakyat susah tapi kerana perangai ahli politik yang tidak mahu berjiwa besar – masing-masing nak berebut kuasa cari tempat – maka sampai bila pun keadaan tidak akan menjadi baik,” katanya ketika temu bual Kerusi Panas TV Pertiwi, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan daripada pimpinan UMNO supaya PRU15 diadakan segera sehingga ada yang mengatakan mereka yang tiada Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) tidak faham mengapa perlu dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) secara sinis berkata, tidak semestinya perlu ada PhD untuk menilai sewajarnya PRU diadakan atau tidak.

“Saya pun tak ada PhD. Tapi kita semua boleh menilai. Orang kampung pun boleh menilai, orang parut kelapa pun boleh menilai bukan kita sahaja daripada Harvard boleh menilai perlu atau tidak pilihan raya.

“Macam sekarang ‘simple logic’ prioriti rakyat sekarang soal apa; soal nyawa, soal keselamatan, soal nak makan .

“Dalam kehidupan manusia ada benda-benda yang biasa soal maruah soal nyawa soal harta ini soal paling basic (asas). Kita kena selesaikan soal yang basic (asas) dulu,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyatakan bahawa hanya graduan PhD dapat memahami keperluan untuk mengadakan PRU15.

Beliau yang juga Setiausaha Agung BN baharu, sekali lagi mempertahankan usul UMNO agar PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Ahmad Maslan mempersoalkan kesanggupan orang ramai yang beratur panjang di pasar raya, tetapi tidak sanggup untuk turun mengundi walau hanya sehari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button