Berita Utama

Shafie dakwa Hajiji langgar kesepakatan

Tidak ikut saranan Anwar bentuk Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU, 19 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Tindakan Datuk Seri Hajiji Noor meneruskan majlis angkat sumpah Kabinet baharu negeri pada Rabu tidak menggambarkan sebagai Kerajaan Perpaduan.

Bahkan, tindakan Ketua Menteri Sabah itu juga membelakangi saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – malah melanggar kesepakatan yang dicapai, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, Warisan menyokong penuh saranan dikemukakan Anwar dalam pertemuannya dengan Hajiji baru-baru ini, supaya sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk di Sabah.

“Saranan itu turut dipersetujui dan disokong UMNO serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menghadiri pertemuan itu.

“Penubuhan secepat mungkin sebuah jawatankuasa khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran berkaitan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah.

“Ia bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau menegaskan, kemelut politik di Sabah akan dapat diatasi dengan adanya persetujuan dan kesepakatan untuk menubuh satu kerajaan perpaduan di Sabah yang terdiri daripada semua parti yang mengganggotai kerajaan di peringkat Persekutuan.

Terdahulu, rombakan Kabinet kerajaan Sabah yang diumumkan Hajiji menyaksikan perubahan dalam lapan daripada 11 portfolio menteri negeri.

Seperti dijangka, tiga menteri dari UMNO/Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin; ADUN Krambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin digugurkan.

Ia berikutan tindakan BN Sabah diketuai Bung Moktar menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri hingga mencetuskan kemelut politik minggu lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button