Thailand mahu rancak semula sektor pelancongan
Wajibkan pelancong asing di pulau terkenal jalani kuarantin 2 minggu

BANGKOK, 21 Rejab 1442H, Jumaat – Thailand merancang merancakkan kembali sektor pelancongan dengan membenarkan pelancong asing melawat negara itu, dalam usaha memulihkan semula ekonomi.
Bagaimanapun, pelancong yang melawat ke tempat pelancongan terkenal, khususnya kawasan pantai diarah supaya menjalankan kuarantin sebagai langkah menangani penularan wabak COVID-19.
Pelan kuarantin di hotel itu akan dimulakan pada bulan April atau Mei di Phuket, Krabi, Surat Thani, Chonburi dan Chiang Mai, kata Menteri Pelancongan, Phiphat Ratchakitprakarn.
“Mengapa wilayah ini? Kawasan itu terkenal dalam kalangan pelancong yang biasanya berada cukup lama iaitu sebulan hingga tiga bulan,” katanya.
Pelancong akan dikuarantin selama dua minggu, dan hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke kawasan lain jika ujian saringan COVID-19 didapati negatif.
Ekonomi Thailand mengalami penyusutan terbesar dalam tempoh lebih dua dekad berikutan kemerosotan sektor pelancongan akibat pandemik itu.
Tahun lalu, pendapatan pelancongan Thailand menurun kepada 332 bilion baht berbanding 1.91 trilion baht pada 2019, di mana jumlah pengunjung merosot 83 peratus.
Agensi perancang negeri menjangkakan hanya 3.2 juta pelancong asing bagi tahun 2021.- Agensi