Berita UtamaDunia

Pengganas Israel bunuh 200 rakyat Palestin setakat tahun ini

Jumlah kematian tertinggi direkodkan sejak 2005: PBB

RAMALLAH, 6 Safar 1445H, Rabu – Tentera pengganas Israel membunuh lebih 200 rakyat Palestin setakat tahun ini – jumlah tertinggi direkodkan sejak 2005 -, menurut wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timur Tengah.

Angka itu turut melebihi jumlah keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu 155 orang.

Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland berkata, 30 warga Israel juga telah terbunuh tahun ini.

Beliau menegaskan, perluasan berterusan terhadap penempatan haram Israel jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menghalang kepada proses keamanan dua negara.

Ini termasuk tindakan perobohan tentera Israel ke atas rumah rakyat Palestin, aktiviti rejim di Tebing Barat dan serangan peneroka Yahudi ke atas perkampungan Palestin.

“Walaupun kita memberi tumpuan segera untuk menangani isu yang kritikal dan meredakan keadaan di lapangan, kita tidak boleh mengabaikan keperluan untuk memulihkan situasi politik,” katanya.

Beliau turut menggunakan media sosial untuk menggesa pemimpin di peringkat antarabangsa bertindak bagi meredakan keadaan di wilayah itu.

Malah, Wennesland turut memberi amaran bahawa keganasan Israel ke atas Palestin tidak membawa kesudahan, melainkan lebih banyak pertumpahan darah.

Terbaharu, tentera Zionis menembak mati remaja Palestin yang berusia 17 tahun selepas melakukan serbuan di bandar Jenin di Tebing Barat.

Menurut Ketua Jabatan kecemasan di Hospital Al-Razi, Fawaz Hamad, remaja yang dikenali Othman Atef Abu Kharj disahkan meninggal dunia selepas mengalami cedera parah di kepala. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button