Berita Utama

Keputusan masuk universiti diumum Jumaat

Hanya pemohon tak berjaya boleh kemuka permohonan rayuan: KPT

BANGI, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2023/2024 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada Jumaat ini.

Keputusan permohonan itu turut membabitkan lanjutan pengajian Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

KPT berkata, keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai 7 Julai jam 12 tengah hari hingga 16 Julai jam 5 petang di beberapa pautan atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon.

“Pengesahan setuju terima/tolak tawaran bermula pada 8 Julai 2023 hingga 16 Julai 2023 di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 8 Julai 2023 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian berkata, hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di http://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai Jumaat jam 12 tengah hari hingga 16 Julai jam 5 petang.

Sementara, rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button