Dunia

COVID-19: Thailand catat rekod jangkitan harian tertinggi

1,335 kes baharu dilaporkan, kenaikan harian terbesar

BANGKOK, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Thailand hari ini melaporkan 1,335 kes baharu COVID-19, kenaikan harian terbesar dan julung kali melebihi angka 1,000 sejak wabak itu mula dikesan di negara ini Januari tahun lalu.

Jumlah itu juga merupakan lonjakan ketiga yang dicatatkan minggu ini, menjadikan keseluruhan jangkitan kini sebanyak 35,910 kes dengan korban kekal 97 orang.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata daripada 1,335 kes baharu, 1,326 jangkitan tempatan dan sembilan kes import termasuk tiga dari Malaysia.

Bangkok kekal di tangga teratas dengan jumlah kes tertinggi sebanyak 351, diikuti Chiang Mai (319), Prachuap Khiri Khan (161) dan Chonburi (72).

“Sehingga kini, gelombang baharu telah menular ke Bangkok dan di 61 wilayah dari keseluruhan 77 wilayah,” kata CCSA dalam sebuah pernyataan.

Berikutan lonjakan kes baharu, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Awam telah mempertimbangkan langkah-langkah baharu termasuk mengenakan sekatan pergerakan di wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok, Chiang Mai dan Prachuap Khiri Khan.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata, kebanyakan kes berkaitan dengan pusat hiburan.

Beliau menggesa jawatankuasa penyakit berjangkit wilayah memainkan peranan untuk membantu meminimumkan pergerakan orang ramai dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.

“Setiap wilayah boleh memainkan peranan masing-masing (dalam pencegahan wabak COVID-19),” katanya.

Sehingga kini, pihak berkuasa berkaitan di 43 wilayah mengenakan sekatan kepada pengunjung dan pelancong. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button