Artikel Khas

Aidilfitri: Kita mesti berani pertahan Islam walau apa cara sekalipun

Bergantunglah dengan Allah, yakin kemenangan hakiki pasti akan tiba

ALHAMDULILLAH kita telah sampai ke bulan Syawal. Bulan kemenangan dan kegembiraan buat umat Islam. Namun di sebalik kegembiraan tersebut, kita tidak dapat lari dari realiti umat yang sangat perit dan pedih.

Pada awal Ramadan yang lalu, dua orang pekerja Melayu yang berpuasa telah dipukul oleh majikan mereka kerana tidak mahu berbuka. Tidak lama selepas itu, kita menyaksikan iklan judi yang dipromosikan oleh pelakon-pelakon Melayu sebagai cara mudah mendapatkan wang bagi berbelanja di Hari Raya.

Terbaru, kesabaran umat Islam tercabar apabila replika lembu memakai songkok dan kain samping diletakkan di bulatan Jalan Air Itam, Pulau Pinang. Dikatakan sebagai dekorasi menyambut Syawal.

Hari-hari terakhir Ramadan pula menjadi saksi kekejaman Zionis ke atas umat Islam di Palestin. Sengsara yang mereka tanggung amat meruntun jiwa. Ya Allah hancurkanlah Zionis laknatullah ya Allah.

Semua ini mengguris hati kita umat Islam. Ujian demi ujian berlaku dan pastinya Allah SWT menghendaki kita mempelajari sesuatu daripada ujian ini.

Ramadan hadir bagi membentuk semangat perjuangan dalam diri. Kita harus berani dan teguh mempertahankan Islam walau dalam apa cara sekalipun.

Buat wanita khususnya,
Teruslah tingkatkan jiwa kerana jiwa yang kuat sahaja yang berjaya di dalam perjuangan. Hadapilah hidup dengan penuh ketabahan, keyakinan dan semangat juang yang tinggi. Pilihlah jalan yang ditunjukkan oleh baginda SAW. Kuatkan pergantungan kepada Allah kerana Allah adalah sebaik-baik Pelindung dan Pemelihara.

Melangkahlah ke dalam 1 Syawal dengan kalimah takbir yang membesarkan Allah. Raikanlah Aidilfitri kali ini dengan penuh semangat dan prinsip perjuangan seperti saudara-saudara kita di Palestin dan yakinlah bahawa kemenangan hakiki itu pasti akan tiba.

Allahu Akbar.. Allahu Akbar… Allahu Akbar… Walillahilhamd…

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button