Berita Utama

Guru tidak divaksin tidak dibenar mengajar bersemuka

Ketika ini terdapat 2,500 guru enggan divaksin di negara ini

KANGAR 25 Muharram 1442H, Jumaat – Guru-guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 tidak dibenarkan mengajar secara semuka apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober nanti.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana, timbul banyak persoalan berkenaan guru-guru yang enggan menerima vaksin tersebut.

“Pada waktu ini, terdapat 2,500 guru enggan divaksinkan di negara ini dan kita akan terus mengadakan sesi libat urus bersama mereka, apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.

“Namun begitu, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini dan pada masa sama, kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksinkan ini,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Radzi berkata, tindakan yang diambil akan mengambil kira keadaan semasa terutama menjelang pembukaan sekolah kelak.

“Jumlah ini tidak ramai dan hanyalah segelintir daripada lebih 400,000 guru di negara ini jadi kita hendak jaga anak kita di sekolah supaya ibu bapa yakin persekitaran di sekolah itu selamat untuk anak kita.

“Ada guru yang tidak dapat divaksin ini atas masalah kesihatan namun ada juga guru yang memberi alasan seperti tidak yakin akan keberkesanan vaksin ini menyebabkan mereka menolak untuk menerima vaksin ini serta pelbagai alasan lagi,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 85.26 peratus guru di negara ini sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Sementara itu, sebanyak 96.7 peratus sudah menerima satu dos vaksin dan pada masa sama juga, kita turut mahu pastikan staf sokongan sekolah yang terdiri sektor pekerja kantin, kebersihan dan keselamatan divaksinkan,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button