Berita Utama

Tok Mat syor TH ditadbir Lembaga Pemegang Amanah

Masalah sebenar TH ialah kepimpinan terbaik, amanah, kompeten

BANGI, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Timbalan Presiden UMNO bimbang langkah meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) akan menjadikan insititusi itu sebuah agensi kewangan dan tabungan semata-mata.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, TH akan hilang potensinya sebagai sebuah dana amanah dengan misi yang lebih besar dan mulia, serta agensi pengurusan jemaah haji terbaik di dunia.

Bahkan, beliau berkata, kepelbagaian pelaburan TH menjadikan agensi itu lebih besar daripada hanya satu tabungan bebas unsur riba dalam membantu umat Islam menunaikan fardu haji.

“Melaluinya, jutaan umat Islam menikmati kos haji yang terendah di dunia, tidak membebankan dan dengan perkhidmatan haji yang terbaik.

“TH adalah dana mahsul yang sangat strategik kepada kepentingan umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Oleh itu, Mohamad menggesa supaya TH dijadikan sebuah ‘Institusi Kepercayaan Nasional’ yang ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah.

“Serahkan pentadbirannya kepada Lembaga Pemegang Amanah yang dianggotai oleh individu paling dihormati dan berwibawa, termasuk jika perlu tokoh antarabangsa.

“Masalah Tabung Haji bukan lagi kawal selia. Masalah sebenar Tabung Haji ialah kepimpinan terbaik, amanah dan kompeten,” katanya.

Malah katanya, masa depan TH juga bukan pada meletakkan agensi itu di bawah BNM.

“Masa depannya ialah pada kepimpinan yang boleh membongkar potensinya sebagai dana amanah dan pemberdayaan paling produktif untuk ummah.

“Saya mengajak umat Islam menyatakan pendirian tegas agar kerajaan mengembalikan peranan TH ke peranan strategiknya semula, selaras dengan semangat penubuhan Tabung Haji itu sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mengumumkan TH akan dikawal selia oleh BNM.

Kementerian dalam kenyataan berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button