Berita Utama

Hampir 20,000 pesakit hidap ‘Post Covid Syndrome’

Kelesuan, sukar bernafas antara simptom utama COVID berpanjangan

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilawal 1443H, Rabu – Hampir 20,000 pesakit yang pulih daripada COVID-19 menghidap ‘Post Covid Syndrome’, atau COVID berpanjangan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, sehingga November tahun ini, terdapat seramai 19,890 pesakit COVID-19 yang diberi janji temu untuk rawatan susulan di fasiliti kesihatan.

Berdasarkan pemerhatian, beliau berkata, terdapat lima simptom utama yang ditunjukkan oleh penghidap COVID-19 berpanjangan.

Katanya, lima simptom utama ialah lesu (78.9 peratus), kesukaran bernafas ketika melakukan tugas tertentu (52.9 peratus), batuk (18.1 peratus), insomnia (14.5 peratus) dan kebimbangan (10.4 peratus).

“Mereka yang menghidap COVID yang berpanjangan biasanya akan mengalami simptom dari empat hingga 12 minggu selepas pulih, dengan sesetengah pesakit mengalami simptom selepas 12 minggu pemulihan.

“Mereka akan dirujuk kepada doktor pakar untuk rawatan susulan,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, rawatan susulan itu berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 kementerian bagi memastikan mereka yang menghidap COVID berpanjangan mendapat akses kepada rawatan dan ubat-ubatan.

Selain Hospital Sungai Buloh dan Hospital Latihan UiTM, Dr Noor Azmi berkata, pesakit COVID-19 berpanjangan turut dirujuk untuk mendapatkan rawatan di 41 fasiliti kesihatan awam dan swasta.

Menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), Dr Noor Azmi berkata, pada masa ini tiada data khusus mengenai kesan COVID-19 yang berpanjangan kepada kanak-kanak.

Dr Dzulkefly berkata, terdapat kajian di luar negara menunjukkan seorang daripada tujuh kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 mengalami defisit kognitif.

Dr Noor Azmi berkata, rawatan yang diberikan untuk pesakit COVID berpanjangan merangkumi pelbagai aspek kesihatan.

Rawatan itu, katanya, bukan sahaja meliputi rawatan untuk gejala fizikal seperti kardiovaskular, masalah pernafasan tetapi juga masalah kesihatan saraf dan mental.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button