Berita Utama

Tun M mahu teruskan saman, Anwar jawab jumpa di mahkamah

'Pelik! Berpuluh tahun fitnah, tapi tiada satu bukti pun tunjuk'

BANGI, 27 Ramadan 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad akan meneruskan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran tidak menarik balik fitnah dan meminta maaf berhubung tuduhan menyalah guna kuasa bagi memperkaya keluarganya.

Dalam tulisan di Facebooknya semalam, Dr Mahathir berkata, tindakan saman diambil kerana Anwar masih meneruskan fitnahnya meskipun sudah menjadi Perdana Menteri.

Justeru, beliau meminta Anwar untuk menarik balik semua tuduhan itu atau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

“Hari ini (17 April) hari terakhir untuk Datuk Seri Anwar dan peguamnya menjawab surat dari peguam saya yang memintanya untuk menarik balik fitnah dan meminta maaf kerana menuduh saya menyalah guna kuasa untuk memperkaya keluarga.

“Jika tidak, saya telah arah peguam saya untuk teruskan tindakan undang-undang tersebut,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, beliau turut dimaklumkan bahawa Anwar ketika berdialog dengan pelajar-pelajar universiti mendakwa bahawa beliau tidak mahu bergaduh dengan bekas Perdana Menteri itu.

“Ini agak pelik. Dia fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun. Masa itu pun bila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang dia tunjuk walaupun dengar cerita ada berkotak-kotak bukti dalam simpanannya.

“Saya tidak ambil tindakan kerana saya anggap ianya perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu jadi Perdana Menteri.

“Tetapi hari ini, apabila dia dah jadi Perdana Menteri dia masih teruskan fitnah. Jadi saya minta tarik balik dan jika tidak saya ambil tindakan undang-undang. Itulah yang saya lakukan, jadi siapa yang cari gaduh?,” katanya.

Susulan kenyataan itu, Anwar menerusi peguamnya dilaporkan bersedia bersemuka dengan Dr Mahathir di mahkamah bagi menjawab segala dakwaan dikemukakan.

Tetuan Thomas Philip yang mewakili Anwar berkata, anak guamnya menafikan segala dakwaan dan kandungan notis tuntutan dikemukakan berhubung pernyataan fitnah dibuat Anwar pada Kongres Nasional Khas PKR.

“Dalam hal ini, anak guam kami bersedia menjawab sebarang dakwaan (jika ada) di mahkamah dan bukan melalui surat menyurat sekiranya anak guam tuan (Mahathir) ingin meneruskan tindakan guaman,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button