Berita Utama

Kalimah Allah: Adakah KDN rujuk institusi diraja sebelum tarik balik rayuan?

Tak patut remehkan isu besar umat Islam dengan ketepikan pendapat pemegang taruh

BANGI, 26 Syawal 1444H, Rabu – PAS mempersoalkan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) merujuk institusi diraja terlebih dahulu atau tidak sebelum membuat keputusan dalam kes kalimah Allah.

Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh berkata, tidak sepatutnya pihak berkuasa meremehkan isu besar umat Islam dengan mengetepikan pendapat pemegang taruh termasuk institusi diraja.

“Muslimat PAS melahirkan rasa terkilan dengan penarikan balik rayuan ini yang membuktikan Kerajaan Madani bukanlah kerajaan yang boleh dijadikan sandaran harapan umat Islam.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya meremehkan isu besar umat Islam dengan mengetepikan pendapat pemegang taruh termasuk institusi diraja,” katanya.

Mengulas lanjut Nuridah mendakwa kerajaan Madani seolah-olah menganggap isu kalimah Allah sebagai remeh dan picisan yang boleh dilupakan.

“Perasaan umat Islam langsung tidak diambil kira, seolah-olah isu ini hanya picisan yang boleh dilupakan,” katanya.

Isnin lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon pengisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Selepas dikritik, Anwar memaklumkan, penggunaan kalimah Allah hanya terpakai oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button