Berita UtamaDunia

Dron serang tempat kelahiran keluarga Bashar al-Assad

Tentera Syria tingkatkan penempatan di kawasan barisan hadapan

BEIRUT, 6 Zulhijjah 1444H, Ahad – Sebuah dron menyerang bandar Qardaha, tempat kelahiran keluarga Presiden Syria, Bashar al-Assad – menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera ringan, lapor agensi berita negara Syria, Sana.

Serangan itu berlaku sehari selepas Sana melaporkan serangan dron ke atas Salhab, sebuah lagi bandar yang dikuasai kerajaan di barat laut Syria berhampiran wilayah pemberontak yang mengorbankan seorang wanita dan seorang kanak-kanak.

Serangan ke atas Qardaha dan Salhab – yang berjarak sekitar 35 kilometer (22 batu) – berlaku di tengah-tengah pertempuran di barat laut dengan serangan tembakan antara tentera kerajaan Syria dan pemberontak di beberapa barisan hadapan.

Qardaha terletak kira-kira 10 km (6.5 batu) dari pangkalan udara Hmeimim Russia.

Pesawat perang Russia telah menyasarkan kawasan yang dikuasai pemberontak baru-baru ini, kata pembangkang Syria.

Menurut sumber di kedua-dua pihak, tentera Syria telah meningkatkan penempatan di beberapa kawasan barisan hadapan.

Peperangan besar kebanyakannya terhenti di Syria dengan barisan hadapan sebahagian besarnya stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas kerajaan Bashar al-Assad menguasai semula sebahagian besar negara itu dengan bantuan daripada sekutunya Russia dan Iran.

Bagaimanapun, pemberontak terhadap Assad masih memegang kawasan yang berpusat di wilayah Idlib di barat laut – berhampiran dengan Qardaha dan Salhab – dengan sokongan dari Turkiye dan terdapat pertempuran sporadis antara mereka serta tentera Syria. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button