Berita Utama

Kelantan sedia beri kerjasama projek bekalan air bersih

Belum ada maklumat diterima mengenai peruntukan RM1 bilion setakat ini

BANGI, 1 Zulkaedah, 1444H – Kelantan bersedia memberi kerjasama yang baik dan penuh kepada Kerajaan Persekutuan, berhubung pelaksanaan projek pembekalan air bersih di negeri itu.

Bagaimanapun, sehingga kini negeri itu masih belum menerima maklumat terperinci mengenai peruntukan RM1 bilion bagi tujuan projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berharap wakil daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat duduk bersama untuk berbincang bagi tujuan pelaksanaan projek.

“Besar harapan pihak kerajaan negeri supaya peruntukan RM1 bilion itu dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah air di negeri ini dan pihaknya akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Semoga peruntukan dapat diguna sebaik mungkin kerana semuanya untuk rakyat dan berharap pelaksanaan (projek) ini dapat dibuat cepat memandangkan peruntukan diumumkan untuk tahun ini,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi pembekalan air bersih di Kelantan bermula tahun ini.

Beliau berkata, ia seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peruntukan akan dilakukan secara tatakelola terus, manakala dari segi operasi akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button